Salah satu manfaat kismis yang menarik adalah ia baik untuk kecerdasan minda. Kismis mengandungi kandungan mineral surih bernama boron yang merupakan mineral penting untuk fungsi otak yang baik. Boron mampu meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori. Selain itu, boron juga membantu menggalakkan fungsi mineral penting seperti kalsium dan magnesium.
Serat yang tinggi dalam kismis adalah sangat bermanfaat untuk fungsi sistem pencernaan berjalan dengan lancar. Satu cawan kismis mengandungi kira-kira 10 g serat yang boleh membantu tubuh badan anda dari bahan-bahan toksik yang berbahaya dengan membersihkan kolon atau usus dan melawaskan pembuangan air.
Selain itu, kismis juga mempunyai manfaat-manfaat lain seperti:
• Melindungi hati
• Melawan bakteria mulut yang menyebabkan pereputan gigi.
• Membantu sebagai penerang hati
• Membantu mengurangkan stress
• Membantu merawat penyakit anemia
• Membantu merawat masalah pelupa
Oleh kerana kandungan serat yang tinggi dan kalori yang rendah, kismis juga boleh dijadikan makanan ringan yang baik. Tenaga daripada gula ringkas iaitu fruktosa dilepaskan secara berperingkat-peringkat untuk memudahkan seseorang yang aktif kekal bertenaga sepanjang masa. Oleh sebab itu, mereka yang sering berfikir dan menggunakan fikiran amat digalakkan untuk mengambil kismis.
Kismis sememangnya sinonim dengan pelajar-pelajar yang menuntut di seolah tahfiz dan pondok. Ini kerana sudah sekian lama, ulama-ulama dahulu sudah mengetahui kebaikan kismis ini kerana ia baik untuk hafalan dan kecerdasan minda.
Kismis dibacakan dengan ayat-ayat suci al-Quran untuk memudahkan pelajar mendapatkan zat-zat yang diperlukan untuk otak, malah juga boleh menerangkan hati.
Membaca al-Quran adalah di antara salah satu cara untuk meningkatkan kecerdasan otak. Di antara surah-surah yang boleh diamalkan adalah:
• Baca ayat 25 – 28, Surah Taha sebanyak 21 kali setiap hari selepas Solat Subuh bagi kecerdasan otak, akal yang sempurna, menguatkan daya ingatan dan menambah ilmu pengetahuan.
• Baca surah al-Hasyr ayat 21supaya mudah mengingat apa yang dibaca.
• Membaca surah al-Insyirah 11 kali selepas solat Subuh.
• Membaca surah al-Anbiya ayat 79 sebelum matahari terbit sebanyak 10 kali.
• Membaca Bismillah enam untuk menerangkan hati dan mencerahkan akal.
Kismis sememangnya baik untuk kesihatan. Jika anda gemarkan snek yang berkhasiat, cuba tukar menu anda dari makanan ringan seperti coklat dan dan gula-gula kepada kismis. Ia bukan sahaja sedap malah mengenyangkan.